Bapa rogol anak kandung hingga lahir anak akan didakwa esok - Utusan Malaysia

Bapa rogol anak kandung hingga lahir anak akan didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bapa yang tergamak merogol anak kandung sendiri sejak anaknya itu berusia 12 tahun dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban di sini esok atas pertuduhan melakukan sumbang mahram.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pendakwa Raya Negeri Sembilan hari ini dan telah mendapat arahan pertuduhan ke atas suspek lelaki tempatan berusia 44 tahun di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

“Manakala suspek kedua iaitu isteri kepada suspek pertama berusia 45 tahun dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu, kedua-dua tertuduh akan dituduh di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Sesyen Seremban manakala pertuduhan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbaya 1952 dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson.  

Aidi Sham berkata, bagi pertuduhan positif air kencing dadah jenis Methamphetanine akan dituduh selepas mendapat laporan daripada pihak Patologi Hospital Kuala Lumpur.  

Pada 5 Mei lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun yang dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun hingga melahirkan dua orang anak terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu.

Difahamkan seorang anak mangsa meninggal dunia semasa lahir manakala seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun didakwa telah diserahkan kepada individu lain yang masih belum dikenal pasti.

Kejadian itu pernah diceritakan kepada ibu mangsa namun tidak diendahkan walaupun dia telah melahirkan anak.

Aidi Sham berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 ketika mangsa berusia 12 tahun sehinggalah kejadian terbaharu pada tahun ini di dalam bilik rumah mereka di Kampung Chuah, Port Dickson.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, ibu bapa mangsa berusia 40-an telah ditahan kira-kira 11.40 pagi Jumaat lalu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, ibu bapa mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah dan kedua-dua mereka direman lima hari bermula Sabtu lalu sehingga 8 Mei ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN