TAPAH: “Saya rasa belum jadi abang yang baik pada dia,”. Itu luahan Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, yang merupakan abang kepada Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor semalam.
Katanya, dia telah kehilangan adik, keluarga dan rakan gaduh kerana arwah merupakan satu-satunya adik lelaki dalam keluarga.
“Saya dan dia (arwah) sahaja yang lelaki daripada lapan adik beradik kini, tinggal saya seorang.
“Sebaik sahaja berjumpa, kami akan bersembang dan lepak bersama-sama untuk tempoh masa yang lama kerana jarang dapat berjumpa kerana tugasan masing-masing sebagai anggota polis,” katanya di Jalan Kampung Poh Tambahan 1 Bidor di sini hari ini.
Katanya lagi, kenangan terakhir bersama arwah ialah semasa Ramadan tahun ini.
Beliau bertugas sebagai anggota polis di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
Tinjauan di kediaman arwah mendapati dalam keadaan tenang dan mula dikunjungj orang kampung, kenalan termasuk Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asmawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fitri dijangka tiba di kampung halaman pada pukul 5 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh pada hari ini.










