PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat melawat jenazah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi semalam.
Raja Permaisuri Agong turut bertemu kedua-dua keluarga anggota polis berkenaan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil dan mengurniakan sumbangan peribadi daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Baginda.
Terdahulu, jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan jenazah Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini (18 Mei) bagi solat jenazah.
Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar akan dikebumikan di Bidor, Perak manakala jenazah Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said akan dikebumikan di Gambang, Pahang.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Datuk Dr. Azmi Rohani.










