KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga anak kapal dan sebuah bot nelayan asing yang disyaki cuba menyeludup gula dan beras keluar dari Sarawak.
Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Kamal Ariffin Jusoh berkata, jumlah nilai rampasan termasuk bot dianggarkan RM300,000 yang dibuat di perairan Tanjung Datu sekitar jam 8.10 malam, 4 Mei lalu.
“Bertindak atas risikan yang dikumpul, sebuah bot peronda APMM telah memintas bot berkenaan yang dipercayai dari Indonesia, kira-kira 4.2 batu nautika utara Sematan.
“Hasil pemeriksaan didtemui banyak pek barangan terkawal ditemui di atas kapal berkenaan yang dikendalikan oleh tiga warga Indonesia termasuk tekongnya,” katanya.
Susulan itu, katanya krew kapal berusia antara 29 hingga 50 tahun bersama bot itu diiringi ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Kuching untuk tindakan lanjut.
“Kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sehubungan itu, kita menggesa komuniti maritim untuk segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus kepada Pusat Gerakan APMM Sarawak di talian 082-432544,” tegasnya.










