Angkasa bangkit semula isu kerelevanan, kesesuaian akta tidak mesra koperasi - Utusan Malaysia

Angkasa bangkit semula isu kerelevanan, kesesuaian akta tidak mesra koperasi

ABDUL Fattah Abdullah (kiri) sewaktu ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian MAN 2024 Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) akan membangkitkan semula usul kerelevanan dan kesesuaian akta serta peraturan koperasi dalam Kongres Koperasi Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada bulan Julai depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, melalui kongres yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, pihaknya mahu kerajaan meneliti semula perkara itu supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik. 

“Terdapat kira-kira enam akta sedia ada tidak mesra dengan koperasi dan tidak menyebut koperasi sebagai satu entiti yang diiktiraf dan oleh demikian, ia menjadi halangan kepada koperasi selama ini dalam menubuhkan syarikat untuk melaksanakan sesuatu projek. 

“Kemudian kita hendak kerajaan melihat Dasar Kewangan dan Fiskal Kerajaan yang dilihat tidak memberi kelebihan kepada gerakan koperasi untuk berdaya saing dan berkembang dalam perniagaan. 

“Ini termasuk soal peruntukan yang dilihat tidak sepadan dengan jumlah koperasi dan ahli koperasi yang terus meningkat setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2024 Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Tambah beliau, melalui kongres sama, pihaknya turut memohon agar kerajaan dapat melihat kepada akses kredit yang lebih baik untuk gerakan koperasi. 

“Kamu mahu koperasi dapat berkembang dengan lebih baik di mana peluang-peluang yang wujud seperti pekerjaan dan pendidikan dapat disediakan kepada bumiputera sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya penuh yakin, koperasi adalah platform terbaik untuk kita mengangkat martabat bumiputera dan pada masa yang sama bersifat inklusif merentasi kepelbagaian agama dan juga bangsa dalam membina sebuah negara yang berdaya saing,” katanya lagi.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, sebanyak 16 projek bidang dan sektor perniagaan berimpak tinggi akan dilaksanakan oleh ahli koperasi Angkasa di seluruh negara pada tahun ini bagi menyumbang kepada landskap sosioekonomi negara. 

“Antara projek perniagaan adalah ternakan ayam kacuk di Selangor; homestay rumah rakit dan pelancongan serta pengeluaran dan eksport durian Musang King dan Black Thorn di Pahang,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN