7 alasan mengapa Bung Moktar, Zizie wajar bela diri tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

7 alasan mengapa Bung Moktar, Zizie wajar bela diri tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menggariskan tujuh alasan mengapa Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad wajar membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta dan bersubahat, sembilan tahun lalu.

Pihak pendakwaan berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding Hakim Mahkamah Sesyen berhubung keterangan dua saksi penting ketika melepas dan membebaskan suami isteri itu melalui proses semakan.

Kedua-duanya merupakan saksi material iaitu saksi pendakwaan ke-24 (SP24), Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar (SP25).

Sehubungan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika melaksanakan bidang kuasa semakan sewaktu melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Tujuh alasan itu terkandung dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 3 Mei lalu bagi menyokong rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 yang membenarkan permohonan semakan pasangan itu.

Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai ini bagi mendengar rayuan tersebut.

Menurut petisyen tersebut, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal mempertimbang bahawa tidak berlaku salah laksana keadilan (miscarriage of justice) terhadap responden atas keputusan prima facie kerana ia bukan keputusan muktamad bagi kesalahan yang dipertuduhkan terhadap responden.

“Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menilai kembali keterangan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” demikian menurut petisyen itu yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How.

Petisyen itu selanjutnya menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila melepas dan membebaskan responden walaupun tiada dinyatakan dalam keputusan lisan hakim Mahkamah Sesyen bahawa keputusan prima facie yang dibuat hanya bergantung semata-mata kepada keterangan SP24 dan SP25.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Beliau yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya pada tarikh dan tempat yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN