531 lokasi cerun tanah runtuh belum dibaiki - Utusan Malaysia

531 lokasi cerun tanah runtuh belum dibaiki

ALEXANDER NANTA Linggi (kanan) sedang mendengar taklimat daripada jurutera daerah semasa turun padang meninjau kemajuan projek jambatan Temerloh kedua di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sebanyak 531 lokasi tanah cerun runtuh di jalan dan lebuhraya masih belum dibaiki di seluruh negara setakat ini membabitkan anggaran kos RM387.38 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua negeri mempunyai lokasi berpotensi tanah runtuh terutama di kawasan tinggi dan ia sentiasa dipantau terutama ketika hujan demi keselamatan pengguna.

“Tiga lokasi terbaharu iaitu pembaikan cerun di Jalan Persekutuan FT68 Kuala Lumpur-Bentong dikenal pasti di negeri ini melibatkan peruntukkan RM6.001 juta.

”Seksyen 47.40 membabitkan peruntukan RM931,000, Seksyen 42.90 (RM3.12 juta) dan Seksyen 57.50 (RM1.96 juta), katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf jambatan Temerloh Sultan Haji Ahmad Shah kedua di sini hari ini.

Projek itu dimulakan pada 2020 membabitkan peruntukan RM102.02 juta dan dijangka boleh digunakan 31 Ogos ini.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata, kerja naik taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh kedua sudah 86 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Katanya, projek naik taraf jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong adalah sebahagian daripada solusi untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik di jambatan sedia ada di situ.

Menurutnya, jumlah trafik terutama pada waktu puncak dan musim perayaan meningkat lebih 10,000 kenderaan sehari sekali gus memerlukan jambatan kedua yang merentasi Sungai Pahang untuk ke Temerloh, Bera, Jerantut dan ke Kuala Lumpur.

“Antara skop kerja utama adalah membina jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada berukuran 655 meter panjang dan 11.5 meter lebar.

“Kos turut membabitkan, menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer, menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti,” katanya.

Tambah beliau, keseluruhan proses reka bentuk projek itu dilaksanakan sepenuhnya oleh tenaga kepakaran tempatan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerajaan melalui agensi-agensi teknikal sedia ada mempunyai kepakaran dan mampu bersaing dengan negara luar. Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada khidmat pakar dan tenaga kerja asing dalam merealisasikan matlamat kerajaan menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat,” katanya.

Tegasnya, jambatan ini akan mewujudkan satu sistem rangkaian jalan raya yang selamat dan dapat menampung kepesatan pertumbuhan ekonomi setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN