Kerja baik pulih cerun siap 30 peratus - Utusan Malaysia

Kerja baik pulih cerun siap 30 peratus

HANAFIAH MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerja baik pulih cerun di lima lokasi runtuhan sepanjang laluan Jalan Kampung Gaung hingga Kuala Pueh, Jenagor di daerah Hulu Terengganu telah siap 30 peratus, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerja di tapak telah bermula pada Oktober 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2025.

“Sehingga Mac 2024, kemajuan kerja fizikal di tapak adalah 30 peratus berbanding jadual asal 19 peratus dengan kos keseluruhan di lima lokasi sebanyak RM42.9 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas-Manir) yang ingin tahu status terkini kerja-kerja baikpulih Empangan Kenyir dan kawasan sekitarnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Tambahnya, kerja baik pulih cerun akibat tanah runtuh yang berlaku di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir di Hulu Terengganu pada 22 Februari 2022 lalu masih sedang berjalan sehingga kini.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut sedang dijalankan di bawah seliaan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meliputi kawasan dalam stesen.

“Bahagian Grid TNB juga telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun bagi kawasan laluan talian TNB yang berada di luar stesen bagi memastikan struktur menara penghantaran utuh dan tidak tumbang.

“Kerja-kerja penstabilan struktur asas menara penghantaran juga turut dilakukan untuk memastikan tenaga elektrik yang dijana dapat dihantar ke sistem grid negara,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) mengenai Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3 pula, Hanafiah berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan kerja awalan dengan kos RM35 juta pada Disember 2021.

“Pembentangan penuh laporan kerja awalan termasuk penentuan jajaran jalan yang muktamad dan anggaran kos projek kepada agensi pusat telah dibentangkan pada pertengahan 2022 untuk mendapatkan hala tuju dan seterusnya kelulusan pelaksanaan projek,” katanya.

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN