50 tahun ke atas, pesara pilih menetap di kampung

50 tahun ke atas, pesara pilih menetap di kampung

ANGKA migrasi dari bandar ke luar bandar pada tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan jumlah lebih tinggi berbanding peratusan penghijrahan dari luar bandar ke bandar. – UTUSAN / MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan yang bermigrasi dari bandar ke luar bandar adalah kumpulan berusia 50 tahun ke atas dan pesara yang merasakan ibu kota tidak lagi sesuai dengan cara hidup mereka.

Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, ini ekoran pembangunan pesat tidak lagi memenuhi kehendak mereka yang lebih memerlukan ketenangan.

“Memandangkan di luar bandar juga terdapat pemba­ngunan, mereka cenderung untuk bermigrasi ke sana dan mendapati kawasan itu tidak sesibuk bandar serta sesuai didiami.

“Di luar bandar sudah terdapat lebuh raya, universiti dan pusat beli-belah yang mana lebih maju berbanding kawasan bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, media ini melaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan angka migrasi dari bandar ke luar bandar tahun-tahun kebelakangan me­nunjukkan jumlah lebih tinggi berbanding peratusan penghijrahan dari luar bandar ke bandar.

Dalam pada itu, Madeline menambah, Malaysia masih lagi kurang bersedia untuk menghadapi negara tua menjelang 2030.

“Pembangunan di negara kita bersifat ad hoc dan tidak mempunyai perancangan yang teliti untuk menghadapi negara tua. Kita masih bersifat sentralisasi dan terlalu berpusat iaitu segala kemudahan berada di satu-satu tempat,” katanya.

Menurutnya, negara ini perlu ada kemudahan yang mesra untuk warga emas bagi mereka terus berada bandar.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir pula berkata, secara purata pendapatan bulanan penghuni di bandar-bandar sekitar RM6,000, namun tidak cukup untuk menampung kos sara hidup dan komitmen pelbagai aspek.

“Faktor lain menarik minat orang kota berhijrah ke desa adalah disebabkan peruntukan besar kerajaan setiap kali belanjawan bagi pembangunan sosioekonomi, penambahbaikan infrastruktur, pemberian geran, modal perniagaan dan sebagai­nya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN