MARAN: Sambutan Hari Raya Aidilfitri Gabungan Masjid Wilayah Jengka di sini berlangsung meriah apabila 37 juadah dihidangkan bagi ‘menyambut’ tetamu yang berkunjung ke majlis tersebut.
Setiap juadah terbabit disediakan oleh badan masjid membabitkan 37 tanah rancangan Felda dalam Wilayah Jengka.
Pengerusi Badan Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, program anjuran bersama Pejabat Agama Islam Jengka, Kelas Asas dan Fardu Ain (KAFA) dan Kami Anak Felda (KAF) dihadiri lebih 5,000 pengunjung termasuk saudara baharu.
Menurutnya, setiap kawasan tanah rancangan dan pengurusan masjid bergotong royong menyiapkan juadah yang ditetapkan untuk pilihan para pengunjung.
“Kesepakatan yang ditunjukkan oleh kepimpinan kampung dan rancangan Felda membuktikan golongan peneroka Felda sebagai komuniti contoh kepada masyarakat di negara ini.
“Setiap tanah rancangan menonjolkan menu utama sebagai identiti masing-masing antaranya seperti lemang, sate, kambing bakar, apam balik dan mee kari,” katanya kepada pemberita pada Jamuan Silaturahim dan Jamuan Aidilfitri di pekarangan Pejabat Agama Islam Jengka di sini hari ini.
Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka menambah, masyarakat Jengka cukup unik kerana berasal dari pelbagai negeri dan mempunyai kuih ataupun juadah berbeza.
Sementara itu, Pegawai Agama Islam Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, jamuan hari raya itu mengukuhkan ikatan ukhuwah dan silaturahim masyarakat yang tinggal di 37 rancangan Felda Jengka.
“Majlis ini menjadj medan kepada para peneroka dan badan gabungan masjid berkumpul dalam satu wadah bagi menikmati rezeki yang disediakan,” katanya.
Tambahnya, kehadiran pelbagai golongan rakyat termasuk saudara baharu pada jamuan itu dapat melahirkan masyarakat harmoni dan bersyukur. – UTUSAN










