SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengagalkan sebanyak 15 cubaan penyeludupan keluar rokok putih menerusi parcel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, sepanjang tempoh berkenaan pihaknya telah menyita sebanyak 786,800 batang rokok.
“Rampasan melibatkan pelbagai jenama dengan nilainya berjumlah RM78,368 manakala dari segi duti dan cukai yang terlibat pula dianggarkan mencecah RM527,124,” katanya.
Antara kes yang berjaya digagalkan JKDM jelasnya, ialah pada 15 April lalu membabitkan sejumlah 200,000 batang rokok putih berkenaan dengan nilainya dianggarkan RM20,000.
Modus operandi penyeludup itu kata Norlela, ialah dengan diisinya ke dalam kotak atau bungkusan tetapi ia ditulis maklumat yang tidak benar mengenai deskripsi dagangan.
Rokok putih itu ujar beliau, diikrarkan sebagai ‘console’ untuk mengaburi pihak berkuasa dengan duti atau cukai terlibat pula yang dianggarkan mencecah sebanyak RM134,000.
Kes dinyatakan itu tambahnya, memperlihakan taktik sindiket sengaja mengisytiharkan nama pengirim yang didapati sebagai palsu dengan alamat tidak benar atau lengkap.
“Strategi kreatif penjenayah tersebut dipercayai untuk menyukarkan JKDM melakukan usaha pengesanan dan kemudian bertindak bagi menahan kumpulan terbabit,” katanya.
Norlela juga mengesahkan hasil pemeriksaan lanjut ke atas rokok berkenaan mendapati ia tidak dilekatkan setem cukai bahkan tiada label amaran kesihatan oleh kerajaan Malaysia dan dipercayai bagi pasaran rantau Oceania.
Kes berkenaan ujar beliau, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda yang tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barang atau RM100,000 iaitu mana lebih besar.
“Malah, mahkamah boleh mendenda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya. – UTUSAN










