ISKANDAR PUTERI: Seramai 1,238 penghuni yang sebelum ini mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) diminta keluar kerana menduduki kediaman itu tanpa memenuhi syarat dan terma yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya melakukan kemas kini dokumen perjanjian dan profil penghuni sejak 2022.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk menyewakan kediaman itu atas sewa atau sublet.
“Terdapat sebanyak 19,632 unit kediaman melibatkan 15 PPR dan tujuh RSK di negeri ini. Sejak 2022 lalu, kita telah selesai melakukan profiling terhadap 97 peratus unit kediaman berkenaan. Dalam tempoh tersebut, kita telah kenal pasti 1,238 penghuni yang melanggar syarat menduduki, termasuk 613 kes yang melakukan sublet. Mereka dapat kediaman itu dengan bayaran sewa RM250 sebulan, tetapi kemudian disewakan kepada pihak ketiga dengan harga berkali ganda.
“Kesemua penghuni itu telah diberikannya notis selama 14 hari untuk mengosongkan kediaman dan pihak yang berdegil telah diminta keluar dengan bantuan polis dan menerusi pemotong bekalan air,” katanya ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.
Mohd. Jafni berkata, isu berkenaan bukan baharu dan pihaknya komited memastikan setiap kediaman PPR dan RSK yang disediakan akan dihuni penduduk yang benar-benar layak.
“Perkara ini bukan berlaku di Johor sahaja, sebaliknya di setiap negeri yang mempunyai kediaman sedemikian. Kediaman ini dikhususkan bagi keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah, manakala mereka yang berpendapatan atas RM3,000 dinasihatkan untuk memohon Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ),” katanya. – UTUSAN










