KUANTAN: Seramai 110 warga pendidik menerima anugerah Kementerian Pendidikan pada Majlis Anugerah Hari Guru 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah daripada seluruh warga tertinggi Kementerian Pendidikan kepada guru-guru yang memenangi anugerah.
“Kita harap dengan adanya majlis seperti ini akan memberikan keyakinan, motivasi dan semangat kepada mereka dan kepada guru-guru yang lain juga untuk terus memberikan yang terbaik untuk pendidikan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tersebut di sini hari ini.
Majlis Anugerah Hari Guru 2024 dianjurkan bertujuan mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru yang tidak pernah jemu serta berkira dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak didik.
Anugerah khusus seperti tahun-tahun sebelum ini juga disediakan oleh Kementerian Pendidikan bagi memberikan pengiktirafan kepada guru-guru yang terpilih dari seluruh negara.
Majlis itu menyaksikan penyampaian 29 anugerah daripada empat kategori iaitu Anugerah Khas Pendidikan (enam), Anugerah Guru Inovatif (enam), Anugerah Guru Berwibawa (tujuh) dan Anugerah Guru Ikon membabitkan 10 anugerah.
Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Pendidikan: Sekolah Citra Madani dan Anugerah #GuruJuaraDigital.
Anugerah ditaja Bank Simpanan Nasional (BSN) selaku rakan strategik Hari Guru tahun ini, manakala Anugerah #GuruJuaraDigital ditaja Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Dalam pada itu, Tema “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani” telah diangkat sebagai tema Hari Guru bagi tahun 2024.
Tema ini diangkat bagi menyokong satu daripada tujuh Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah bagi memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik. – UTUSAN










