JOHOR BAHRU: Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 boleh mencetuskan krisis perlembagaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut dilihat sebagai mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan dalam isu berkenaan serta boleh memberi implikasi terhadap undang-undang, etika dan prinsip kebersamaan anggota Kabinet kerajaan.
“Apakah implikasi perundangan dan etika berjemaah dalam Kabinet sekiranya seorang Timbalan Perdana Menteri mengikrar sebuah afidavit yang menyokong permohonan bekas Perdana Menteri memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
“Jika bekas Perdana Menteri berbuat demikian bermakna beliau mencabar keputusan Lembaga Pengampunan dan kerajaan berserta anggapan dan dakwaan bahawa keputusan yang dibuat telah silap diputuskan. Ertinya kerajaan telah silap buat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 17 April lalu, Ahmad Zahid dilaporkan mengikrar afidavit itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid memfailkan afidavit itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah pihaknya melihat dan membaca titah adendum itu.
Dalam pada itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, situasi itu berbeza dengan tindakan dilakukan Tun Musa Hitam yang meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana dan Menteri Dalam Negeri setelah berundur daripada Kabinet kerana tidak bersetuju dengan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tindakan Musa pada tahun 1986 itu dihormati rakyat sehingga ke hari ini kerana beliau kekal berprinsip apabila tidak bersetuju dengan Dr. Mahathir.
“Jadi adakah Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan sekarang yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan dalam soal keputusan Lembaga Pengampunan akan mencontohi tindakan beretika dan berprinsip oleh Musa.
“Ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas disebut bahawa fungsi dan tanggungjawab Jemaah Menteri yang terdiri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri adalah mereka bertindak dan bertanggungjawab secara bersama-sama atau kolektif. Tidak boleh wujud prinsip mementingkan diri dan parti sendiri, sebaliknya perlu sentiasa bersama-sama pada masa senang dan susah,” katanya. – UTUSAN










