ALOR GAJAH: Tiada bantuan tambahan kepada penjawat awam negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penjawat awam dan pesara Persekutuan, semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ini kerana bantuan khas kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 telah diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2024 Melaka sebelum ini.
“Proses untuk mengeluarkan duit kerajaan ini bukan boleh buat pagi selesai sebelah petang, tidak.
“Jadi kita melihat dulu tetapi saya rasa yang kita umum masa bajet hari itu untuk penjawat awam, itu sudah cukup untuk menampung keperluan raya ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua di sini, semalam.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM500.
Anwar berkata, bantuan itu akan mula dibayar Jumaat ini, 5 April termasuk kepada kakitangan awam lantikan kontrak.
Sebelum ini, pada pembentangan Belanjawan 2024 Melaka, Ab. Rauf mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kira-kira 4,400 penjawat awam di negeri ini.
Beliau berkata, pembayaran itu turut melibatkan kakitangan berstatus kontrak dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta yang mana pembayaran akan dibuat dua kali iaitu pada Februari dan Mac 2024. – UTUSAN











