Teruja sambut raya dengan 34 cucu, 4 cicit

Teruja sambut raya dengan 34 cucu, 4 cicit

ABDULLAH Md. Amin (tengah) dan Ramlah Endut (dua dari kiri) bersama anak serta cucunya menganyam ketupat untuk dijadikan juadah pada Hari Raya Aidilfitri di rumah mereka di Kampung Surau Panjang, Marang, kelmarin. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dari Kampung Surau Panjang di sini teruja membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama 12 anak mereka.

Abdullah Md. Amin, 80, berkata, dia dan isterinya, Ramlah Endut, 76, telah menyediakan pelbagai bahan masakan untuk hidangan nasi dagang, nasi minyak dan ketupat daun palas sebagai juadah utama pada hari pertama hari raya nanti.

Menurutnya, pada tahun ini, seramai 11 daripada 12 orang anaknya akan pulang ke kampung halaman bersama pasangan masing-masing dan 34 cucu serta empat orang cicit.

“Setiap kali berkumpul, memang ada 64 orang di rumah ini, semua ruang penuh sama ada ruang tamu, bilik tidur dan dapur.

“Suasana seperti ini hanya akan berulang setiap dua tahun kerana anak-anak sudah mempunyai jadual giliran untuk beraya di rumah mentua masing-masing.

“Sebab itu kami sangat menghargai kepulangan mereka secara serentak, bagaikan berputar kembali kenangan waktu mereka kecil dan kali ini semua pengalaman itu lebih manis kerana mereka sudah dewasa dan pulang bersama keluarga kecil masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, kelmarin.

Anak pasangan suami isteri tersebut yang paling jauh tinggal di Perak, Melaka dan Kuala Lumpur manakala bakinya ada yang tinggal di Kuantan, Pahang dan yang tinggal berdekatan ialah di Kemaman.

Abdullah berkata, kesemua anak, cucu dan cicitnya akan tinggal di rumah itu sepanjang bercuti Hari Raya Aidilfitri dan tradisi itu meninggalkan momen yang manis untuk keluarga besar mereka.

“Anak cucu semua seronok dapat berjumpa sepupu yang ramai, kemeriahan di rumah ini sama macam iklan-iklan komersial yang ditayangkan di televisyen dan media sosial setiap kali hari raya kerana jumlahnya memang ramai.

“Masing-masing pun sudah tahu ‘jadual’ memasak, mandi, gosok baju, bantu penyediaan juadah agar sambutan hari raya berjalan lancar dan menyeronokkan,” katanya yang membesarkan kesemua 12 anaknya itu dengan hasil menjual ikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN