Terima wang ihsan, Kelantan rakam penghargaan buat Kerajaan Persekutuan

Terima wang ihsan, Kelantan rakam penghargaan buat Kerajaan Persekutuan

MOHD. Nassuruddin Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM58.6 juta.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, wang ihsan tersebut diterima oleh pihaknya pada minggu lalu.

“Wang ihsan adalah satu bentuk terimaan yang sememangnya diperuntukkan dalam Bajet Negeri.

“Semua terimaan dan perbelanjaan yang terdapat dalam Bajet Negeri itu diaudit Jabatan Audit Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nassaruddin memberitahu, pihaknya berharap penyaluran wang ihsan dapat diteruskan secara berjadual berdasarkan prinsip dan semangat persekutuan.

Katanya, Kelantan sentiasa telus dalam melaksanakan sebarang  peruntukan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan selain itu, bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Bayaran RM103.1 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu untuk obligasi kerajaan negeri kepada kontraktornya.

Menurut kenyataan itu, sebarang baki Wang Ihsan akan tetap digunakan untuk Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

“Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

“Ini dicerminkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta Peruntukan Pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024,” katanya.

MOF juga memaklumkan Pemberian Negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak setiap bulan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN