Telaga tiub: Kelantan berdepan risiko mendapan tanah

Telaga tiub: Kelantan berdepan risiko mendapan tanah

KERJA-KERJA menggali telaga tiub mejadi salah satu langkah terbaik untuk mendapatkan bekalan air bersih di Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan meluahkan kebimbangan kerja-kerja menggali telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air dibimbangi boleh mengundang risiko berlaku mendapatan tanah di negeri ini.

Yang Dipertuanya Mohd. Syahiran Muhammad berkata, hal ini kerana aktiviti tersebut dilihat sampai ke tahap tidak terkawal disebabkan oleh masalah gangguan bekalan yang semakin teruk.

“Sungguhpun kaedah itu mampu menjamin sumber air kepada rakyat namun amat berbahaya kepada alam sekitar. Jika aktiviti menggali telaga atau telaga tiub sampai ke tahap tidak terkawal, negeri ini akan terkesan dengan fenomena tanah mendap.

“Fenomena tersebut akan menyebabkan tanah-tanah di negeri ini berisiko untuk berada di bawah para laut dan akan menerima pelbagai impak negatif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Syahiran memberitahu, tindakan menggali telaga tiub melibatkan separuh rakyat Kelantan tidak seharusnya berlaku.

Katanya, ABIM menggesa kerajaan negeri menyegerakan penyelesaian isu bekalan air bersih berbanding tempoh yang telah diumum oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin, iaitu menjelang tahun 2027.

“Kerajaan negeri harus membentangkan pelan penyelesaian air negeri dan seeloknya diselesaikan lebih awal iaitu pada suku pertama tahun 2026. Kami turut menggesa agar pelan tersebut dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap sesi.

“Pembentangan itu penting dalam memastikan proses pelan penyelesaian masalah bekalan air di negeri ini diketahui oleh rakyat dari masa ke semasa,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 50 peratus atau 600,000 daripada 1.2 juta rakyat Kelantan kini bergantung kepada telaga atau telaga tiub untuk mendapatkan belakan air bersih selepas masalah lebih 25 tahun lalu tidak selesai.

Walaupun kos menggali telaga atau telaga tiub mencecah ribuan ringgit, penduduk sudah tidak mampu menanggung ‘sengsara’ susulan syarikat pengendali perkhidmatan yang diberi tugas menyediakan bekalan air bersih gagal melaksanakannya.

Malah mereka juga seolah-olah berputus asa dengan jaminan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air bersih yang lambat kesudahannya dan lebih menyakitkan hati apabila penduduk terpaksa membayar ‘bil angin’ setiap bulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya