Songket tenunan banduan ke Laos, Vietnam

Songket tenunan banduan ke Laos, Vietnam

TUNKU Azizah Aminah Maimunah (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah melihat songket yang dipamerkan di galeri tenunan songket di Penjara Marang, Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Malaysia akan memperkenalkan keistimewaan songket dan tenunan yang dihasilkan oleh Jabatan Penjara ke Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di Laos dan Vietnam dari 2 hingga 6 November depan.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, dele­gasi simposium itu terdiri daripada tenaga pengajar berkaitan songket dan tenunan di Jabatan Penjara yang terlibat dengan penghasilan produk warisan tersebut.

Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara bertitah, semua peserta delegasi diharap dapat memperoleh banyak ilmu dan pendedahan baharu berkaitan industri songket dan tenunan.

“Simposium kali ini saya nak ajak semua penjara (warden dan tenaga kerja) di bawah Yayasan Penenun Pahang Diraja dan Penjara Marang.

“Saya nak tunjukkan pada dunia bahawa di Malaysia, kita ada banduan yang diberi latihan yang merupakan sebahagian daripada program pemulihan.

“Pelbagai teknik diajar sebagai contoh hasilkan tekat, batik, tenun, buat tembaga dan perabot. Jadi, kita nak tunjukkan banduan ini mempunyai kemahiran tinggi dan apabila mereka keluar dari penjara nanti maka mereka sudah ada suatu kepakaran yang dipelajarI, itu yang penting dan ia tidak sia-sia,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat galeri tenunan songket di Penjara Marang di sini, baru-baru ini.

Kedatangan Tunku Azizah di Penjara Marang diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Dalam pada itu, Tunku Azizah turut memuji kepakaran ditunjukkan oleh banduan di Penjara Marang yang menghasilkan teknik songket dua wajah.

Baginda menzahirkan hasrat supaya penenun di Penjara Marang dan Penjara Penor, Kuantan serta Penjara Bentong, Pahang saling bertukar idea dan kepakaran dengan mempelajari pelbagai teknik termasuk ikat cuai, ikat tocang dan ikat paku.

“Usaha ini perlu digandakan agar generasi akan datang berbangga dan terus mempertahankan keunikan songket dan tenunan yang ada,” titah bagin­da. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN