PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu membuat siasatan terhadap individu atau pihak yang melupuskan bekalan makanan dan beberapa barangan dapur di Rumpun Makmur, Kuala Krau di Temerloh.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, KPDN harus bertindak segera jika terdapat elemen sorok bekalan makanan.
“Dalam keadaan rakyat memerlukan makanan ketika ini, sudah tentu mereka terkesan apabila melihat banyak makanan yang dibuang dalam kuantiti yang besar sebegitu sahaja
“Tak sepatutnya terjadi sorok bekalan makanan namun jika terjadi hal sedemikian, ini merupakan satu jenayah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut beliau, kes membuang bekalan makanan dalam kapasiti banyak di Temerloh sepatutnya tidak berlaku lebih-lebih lagi ketika rakyat merungut kerana kos sara hidup melonjak dan setengah barang pula sukar dibeli di pasaran.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said memohon maaf berhubung isu pelupusan beras dan barangan dapur di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.
Katanya, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu itu dan menyesali perkara yang berlaku.
Kata beliau, beras dan barangan dapur berkenaan adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.
Mengulas lanjut, Saravanan menegaskan agar kerajaan melakukan audit untuk setiap pembelian dan pemberian barangan dapur agar tidak jadi pembaziran.
“Sudah tentu bekalan makanan ini dibeli secara pukal, pastikan barangan itu sampai kepada mereka yang memerlukan. Apabila bekalan makanan yang banyak dilonggok begitu, ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab. Seperti melakukan jenayah.
“Bila sudah buat salah, mereka hapuskan kesalahan mereka. Seolah-olah tidak sensitif dengan isu yang berlegar kini,” ujarnya. – UTUSAN










