SEREMBAN: Selepas dirinya menghidap pelbagai penyakit termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali, penyanyi popular pada era 1990-an, Shaharim Sallehudin, 59, atau lebih dikenali sebagai Sheqal mengakui dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan.
Bagaimanapun, penyanyi yang terkenal menerusi lagu bertajuk Zapin Rindu-rinduan dan Cinta Nusantara itu memberitahu, dia kini mencari peluang menerusi penulisan buku.
Menurutnya, dia menghasilkan buku pertamanya bertajuk Syair Burung Dalam Sangkar hasil manuskrip yang disimpannya selama hampir 25 tahun.
“Di sebalik tajuk buku ini ada ‘burung’ bermaksud roh manakala ‘sangkar’ bermaksud jasad. Rangkuman karya syair ini juga saya ambil daripada pengalaman sebagai pencinta seni selain nasihat-nasihat motivasi yang boleh diguna pakai pelbagai lapisan masyarakat.
“Ini semua nasihat berpandukan fatwa ulama dan bukannya direka sendiri kerana saya hanya pelakon yang mendapat ilham dalam berkarya syair untuk dikongsikan kepada semua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah sewanya di Taman Tuanku Jaafar di sini.
Sheqal yang mengidolakan penyair agung dan tokoh sufi alam Melayu dari Indonesia iaitu Hamzah Fansuri berkata, karya syair daripada idolanya itu turut menjadi rujukannya dalam konteks keagamaan dan falsafah.
“Penghasilan karya syair ini sudah pun dibuat sejak dahulu lagi, tetapi baru kini berkesempatan untuk menerbitkan buku untuk tatapan pembaca,” katanya yang memberitahu buku berkenaan mempunyai 244 muka surat yang menghimpunkan karya-karya syair mengikut bab.
Menurut Sheqal, syair menerusi penerbitan buku ini adalah kesinambungan karya seninya setelah mengambil keputusan menutup pintu hati dalam dunia hiburan.
“Jadi, saya titipkannya dalam bentuk ini (karya syair) supaya peminat dapat membeli buku Syair Burung Dalam Sangkar dan menyokong karya yang dihasilkan,” katanya.
Cetakan pertama buku berkenaan diterbitkan oleh Terbilang Jaya Resources yang dijual pada harga RM30 di Semenanjung dan RM35 di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










