Sindiket Love Scam tumpas, 12 lelaki warga China diberkas - Utusan Malaysia

Sindiket Love Scam tumpas, 12 lelaki warga China diberkas

ANTARA barang yang dirampas daripada kegiatan sindiket love scam dalam serbuan di dua buah rumah di Ipoh pada Khamis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan sindiket penipuan cinta atau Love Scam yang beroperasi di dua rumah di Taman Ipoh Selatan dan Medan Pengkalan Setia di sini, terbongkar selepas polis menahan 12 lelaki warga China dalam serbuan pada Khamis lalu.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 4.15 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua 12 suspek warga China yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Katanya, berdasarkan siasatan awal termasuk penelitian terhadap skrip perbualan dalam komputer riba yang dirampas mendapati sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti pusat panggilan (call centre) bagi penipuan Love Scam.

“Polis percaya sindiket itu mula beroperasi di kedua-dua premis terbabit sejak Jun lalu dengan menyasarkan mangsa dari China.

“Sindiket itu juga menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat serta capaian internet tempatan bagi menjalankan kegiatan penipuan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati suspek menyamar menggunakan gambar individu yang berperwatakan menarik untuk menghubungi mangsa secara rawak sebelum memujuk mereka menyertai urusan jual beli barangan kononnya mampu memberikan keuntungan tinggi.

Katanya, mangsa yang terpedaya kemudiannya diminta membuat pembayaran secara berulang sehingga mengalami kerugian.

“Dalam operasi itu, polis turut merampas 158 unit telefon bimbit, enam komputer riba, enam tetikus komputer, lima router WiFi, lima skrip perbualan, 15 keping kad SIM, tiga unit stesen pengecas USB dan tiga penyambung wayar.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM34,500,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN