SERENDAH: Walaupun sudah meletak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui beliau masih setia dengan parti dan akan membantu kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
“Saya masih setia bersama UMNO. Yang saya kritik itu konstruktif sebab ingin lihat UMNO terus relevan di Selangor dan terus bekerjasama sebab kita kerajaan perpaduan, jadi kena selari dengan Kerajaan Persekutuan.
“UMNO Selangor juga kena ada semangat kerajaan perpaduan, yang kita buat di pusat kena juga buat di Selangor,” katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO kepada pemberita selepas majlis permulaan pembinaan MCE Auto Hub sebagai kilang pengeluaran baharu di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membantu calon kerajaan perpaduan yang difahamkan bakal diumum, Rabu ini.
“Malahan, harı ini (semalam) pun saya ada di sini (Selangor) saya akan berjumpa dengan ketua bahagian UMNO Selangor dan saya ada mesyuarat selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pengumuwman mengenai calon Pakatan Harapan (PH) akan dibuat sekitar dua hari sebelum penamaan calon.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Mengulas lanjut mengenai memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta, berhubung pemenjaraan di rumah Datuk Seri Najib Razak, Tengku Zafrul bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Seperti yang saya sebut dalam kenyataan akhbar.
“Saya tidak mahu komen apa-apa dengan apa yang saya sebutkan dua hari lalu,” katanya. – UTUSAN










