SEREMBAN: Sampel kelima untuk ujian dan hasil analisis makmal kupang di perairan Port Dickson yang diambil semalam masih menunjukkan kandungan biotoksin yang tinggi dan tidak selamat dimakan.
Jabatan Perikanan Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, sehubungan itu jabatan tersebut akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) National Shellfish Sanitation Programme (NSSP) yang ditetapkan.
“Berdasarkan tinjauan semasa yang dijalankan di lokasi, nelayan dan peniaga sentiasa mematuhi arahan larangan mengambil, mengutip dan menjual seperti yang diarahkan oleh jabatan sebelum ini.
“Verifikasi yang telah dijalankan bermula 26 hingga 28 April lalu telah mengenal pasti seramai 81 orang penternak yang terjejas berikutan kes kupang tercemar biotoksin.
“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut SOP NSSP yang ditetapkan sehingga bacaan biotoksin berada di paras yang dibenarkan dan kupang disahkan selamat untuk dimakan di Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu.
Pada 4 April lalu, kupang di perairan Port Dickson disahkan telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap kupang dan air di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Sehubungan itu, pihaknya menyarankan kupang dan dwicengkerang lain seperti kerang di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan perairan tersebut.
Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.-UTUSAN.










