RM200 juta naik taraf wad HKL

RM200 juta naik taraf wad HKL

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Ke­sihatan menganggarkan ker­ja menaik taraf wad yang dilengkapi sistem pendingin hawa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menelan belanja kira-kira RM200 juta dan dijadual dimulakan tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerja menaik taraf tersebut untuk memberi ke­selesaan kepada pesakit dan juga petugas di hospital yang dibina sejak 1870-an dan menjadi rujukan utama rakyat.

Menurut beliau, KKM berhasrat memasang sistem pendingin hawa di wad sedia ada dengan pemasangan akan didahului dengan kerja mekanikal dan elektrikal agar dapat menampung pemasangan pendi­ngin hawa.

“Dalam masa sama, kerja pemasangan kipas dan memperbanyakkan bukaan tingkap akan dibuat bagi memastikan pengudaraan di wad lebih efisien untuk keselesaan pesakit dan petugas kesihatan,” kata beliau.

Dr. Dzulkefly berkata, pada masa ini, HKL terus menjalani proses penambahbaikan menerusi pembinaan infrastruktur baharu dan menaik taraf infrastruktur sedia ada agar sejajar dengan perkembangan perkhidmatan kepakaran serta keperluan untuk mendayaupayakan lagi teknologi dan sistem peralatan perubatan di negara ini.

DIRANCANG

“Cadangan pembinaan blok-blok baharu ini turut dirancang tetapi dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi (RMK12 – RMK15),” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, untuk menaik taraf blok utama HKL ia memerlukan kerja-kerja sistem infrastruktur secara menyeluruh bagi memastikan persekitaran di hospital itu sesuai dengan keperluan semasa.

“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf sistem elektrik dan keselamatan, gas perubatan, sistem perpaipan air, lif, telekomunikasi, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan pembentungan juga perlu seiring dengan blok utama dinaik taraf,” katanya.

Oleh itu, Dr. Dzulkefly berkata, pelan pembangunan semula HKL dibuat tiga peringkat yang membabitkan dua komponen bagi memastikan perkhidmatan sedia ada tidak terjejas malah terus dapat disampaikan kepada rakyat semasa kerja menaik taraf dilakukan.

“Pelan ini dibahagikan kepada dua komponen iaitu perancangan pembinaan blok baharu dan menaik taraf blok utama dengan cadangan kerja menaik taraf wad di bangunan utama telah disenaraikan dalam permohonan Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 dengan anggaran kos sebanyak RM200 juta kepada Kementerian Ekonomi,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, antara kerja-kerja naik taraf yang telah diluluskan di dalam RP4 pada 2024 ialah kerja awalan penyediaan skop projek dan anggaran kos pembangunan bagi cadangan projek blok tambahan wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Institut Kaji Saraf Tunku Abdul Rahman (IKTAR).

TARAF

“Kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan 12 wad dan sebahagian Jabat­an Soko­ngan Klinikal di bangunan utama,” katanya.

Kata beliau, pembinaan blok baharu akan menyumbang kepada tambahan bilangan katil serta prasarana hospital yang lebih kondusif dan selesa bagi rawatan pesakit, persekitaran kerja petugas kesihatan serta keselesaan pelawat.

Kata beliau, kementerian juga bercadang akan menaik taraf blok wad bersalin sedia ada dan maklumat untuk kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan.

Pada 11 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke atas pesakit di HKL berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menyegerakan penambahbaikan wad kelas tiga di hospital itu bagi memberi keselesaan kepada pesakit, petugas dan pelawat.

“Kita lihat sendiri macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan Menteri (Dr Dzulkefly) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu,” kata Anwar.

Susulan itu, Dr. Dzulkefly berkata, kementerian dite­rajuinya akan menyegerakan kerja menaik taraf dan penyelenggaraan terutamanya di wad kelas ketiga seperti dihasrat Perdana Menteri

“Pihak KKM akan membuat perancangan segera untuk memasang pendingin hawa split unit untuk jangka masa pendek, manakala kerja-kerja penilaian mekanikal dan elektrikal dilaksanakan untuk pemasangan centralised air-conditioning di wad-wad ber­kenaan.

“Pihak kami juga sedang berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan untuk mendapatkan dana seberapa segera bagi membolehkan kami menyegerakan melaksanakan memasang pendingin hawa split seperti di arah PMX dgn seberapa segera,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN