JASIN: Selepas 14 tahun berlalu, perkhidmatan bot pelancongan Sungai Kesang kini dalam kajian untuk dihidupkan semula bagi menambah tarikan pelancongan di gerbang selatan Melaka.
Sebelum ini perkhidmatan itu dikenali sebagai Sungai Rambai River Cruise yang beroperasi pada 2010 di Laman Belia Sungai Rambai di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Melaka River Cruise (MRC) Sungai Kesang perlu diperkenalkan bagi menambah tarikan pelancong di kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Riverside Sungai Rambai.
Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) diberi tanggungjawab menjalankan kajian untuk melihat kesesuaian sama ada bot yang sama digunakan di Sungai Melaka dan Eco-Cruise Sungai Linggi boleh digunakan di Sungai Kesang.
“Saya minta sebuah bot ditempatkan di sini untuk kita melihat, ia boleh menjadi salah satu tarikan pelancong di gerbang selatan. Kita hendak tengok bot yang sama digunakan di Sungai Melaka dan Kuala Linggi ditempatkan di sini, sama ada sesuai atau tidak.
“Keputusannya bergantung kepada hasil kajian yang akan dijalankan oleh PPSPM dan sekiranya boleh, sudah pasti kita akan majukan kawasan ini dengan memperkenalkan perkhidmatan MRC,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka 2024 di Dataran Riverside Sungai Rambai, kelmarin.
Tambah Ab. Rauf, kajian oleh PPSPM akan dijalankan selama 60 hari dengan mengambil beberapa petunjuk termasuk kedalaman sungai dan beberapa faktor lain. – UTUSAN









