PETALING JAYA: Serangan Israel terhadap Iran termasuk mengebom bangunan Konsulat Iran di Damsyik, Syria hanyalah provokasi bersifat politik semata-mata untuk mengalihkan perhatian daripada peperangan di Gaza serta menarik semula Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di Barat kembali ke Asia Barat.
Provokasi Israel sehingga mengundang tindak balas Iran juga dilihat untuk meraih simpati AS dan sekutu lain serta cubaan mengukuhkan kedudukan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, tindakan Israel memprovokasi Iran dianggap berjaya apabila dunia mengalihkan perhatiannya terhadap ketegangan kedua-dua negara tersebut daripada genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Strategik Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, di sebalik serangan kira-kira 300 dron, misil dan balistik dari Iran ke Israel yang bersifat one-off, keganasan rejim Zionis di Gaza masih tidak dihentikan.
Menurut beliau, walaupun Israel mendapat tekanan daripada Hizbulah di Lubnan, rejim Bashar Al-Assad di Syria dan puak Houthi di Yemen, namun tidak sedikit pun serangan ke atas Gaza dikendurkan.
IMPAK
“Ya, serangan Iran adalah tindakan wajar yang disokong oleh Hamas, namun ia tidak cukup untuk memberi impak ke arah menghentikan keganasan di Gaza dan seterusnya membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajah Zionis.
“Perang Taufan Al-Aqsa memasuki hari ke-190 dengan angka syahid mencecah 40,000 nyawa dan seramai 76,309 orang cedera. Mereka yang cuba untuk bergerak ke utara Gaza telah dihalang dengan dron dan peluru hidup manakala penduduk di utara terus disekat daripada mendapatkan segala bantuan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, serangan balas Iran terhadap Israel hanyalah untuk menunjukkan kuasanya dengan mensasarkan kawasan strategik ketenteraan rejim Zionis selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang tidak memberikan sebarang respons terhadap tindakan Israel sebelum ini.
Untuk rekod, tindakan Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik, Syria memberikan Iran ‘lampu hijau’ untuk melakukan serangan balas yang dianggap sebagai ‘mempertahankan diri.’
“Tindakan mendiamkan diri oleh UNSC juga seolah-olah membenarkan pembunuhan dilakukan dengan niat untuk menarik Iran ke dalam ‘perangkap’ perang yang tidak berkesudahan,” katanya. – UTUSAN










