KOTA BHARU: Pas melihat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sudah tidak selamat untuk Dap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi itu berpandukan kepada kepada keputusan pilihan raya sebelum ini.
“Saya rasa sekarang sudah tidak ada kubu. Walaupun namanya Kuala Kubu Bharu tetapi ia bukan lagi kubu kuat kepada sesiapa pun. Sebab pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas kita sudah menang kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.
“Hanya kerusi DUN Kuala Kubu Bharu gagal dimenangi oleh PN di situ pada pilihanraya lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, keputusan parti komponen PN yang mana akan meletakkan calon di PRK Kuala Kubu Bharu dijangka akan diputuskan pada Isnin atau Selasa nanti.
Katanya, setakat ini gabungan berkenaan belum membuat apa-apa keputusan namun Pas pasti akan turun membantu serta memastikan kemenangan PN pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei nanti.
“Saya jangka pada Isnin atau Selasa PN akan umum siapa bertanding di situ. Pas bersama jenteranya akan tetap turun membantu tidak kira siapa calonnya kerana beliau mewakili PN.
“Kita jangka boleh capai kemenangan kali ini berikutan beberapa situasi yang berlaku termasuk isu ekonomi, tekanan hidup rakyat dan sebagainya. Kita akan ‘all out’ untuk memastikan kemenangan PN,” ujarnya.-UTUSAN










