PRK Kuala Kubu Baharu: BN hormati sistem, parti penyandang diberi keutamaan letak calon - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: BN hormati sistem, parti penyandang diberi keutamaan letak calon

MOHAMAD Hasan menerima kunjungan Ka Siong (tiga dari kanan) bersama kepemimpinan MCA Negeri Sembilan yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menghormati sistem yang telah diperakukan sebelum ini iaitu parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan akan diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam persefahaman itu jika berlaku kematian (wakil rakyat) parti (penyandang) itulah yang akan diberi keutamaan.

“Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU), kita boleh tukar-tukar kerusi tetapi apabila ada kematian , kita bagi peluang kepada pemegang jawatan tersebut untuk meletakkan calon.

“Kerusi Kuala Kubu Baharu adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan PH kata pemegang kerusi itu dulu adalah DAP, jadi kita menghormati, orang kata sistem yang telah pun kita perakukan, namun siapa mereka yang mahu turunkan kita belum tahu lagi.

“Jadi saya harap supaya kita boleh bantu-membantu, orang sudah bantu kita, kita perlu bantu pula rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ini cuma untuk kita pastikan supaya urusan pentadbiran menghadapi PRK Kuala Kubu Baharu dapat diurus dengan baik,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjung, Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad dalam pada itu berkata, tidak sepatutnya timbul ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang enggan membantu kempen PRK berkenaan.

“Itu tidak cantik nampaknya, kita bukannya bergabung sebaliknya membantu. Setakat membantu sebagai rakan di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Namun berhubung hasrat MCA dan MIC yang enggan berkempen, kita akan uruskan perkara itu dalam BN sebab dulu semasa di Johor (PRK Parlimen Pulai, PRK DUN Simpang Jeram), Parti Amanah bertanding dan kita bantu.

“Apabila PRK Pelangai yang ditandingi BN (UMNO), semua parti dalam Kerajaan Perpaduan juga membantu bersama. Kini timbul giliran DAP yang mana mereka adalah pemegang jawatan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang menetapkan parti komponen BN itu tidak akan berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mempengerusikan mesyuarat itu ketika ditemui berkata, keputusan yang diputuskan itu adalah sebulat suara.

“Keputusan yang dibuat MCA adalah secara kolektif dan sangat jelas. Sudah memadai dan saya tidak perlu mengulas lebih lanjut, ”katanya.

Ka Siong turut berkata, pendirian itu juga telah dinyatakan di semua peringkat termasuklah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, MIC yang juga parti komponen BN juga dikatakan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran dilaporkan berkata MIC akan mempertimbangkan untuk membantu sekiranya terdapat permintaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN