Polis jangka kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat tiga kali ganda

Polis jangka kemasukan kenderaan ke Kelantan meningkat tiga kali ganda

MUHAMAD Zaki Harun (kiri) menyampaikan sumbangan topi keledar kepada penunggang motosikal selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Binjal, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan menjangkakan jumlah kemasukan kenderaan ke negeri ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri akan meningkat lebih tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pergerakan masuk kali ini terlebih tertumpu kerana ia melibatkan sambutan perayaan.

“Situasi ini berbeza dengan sambutan Tahun Baharu Cina lalu apabila perantau pulang untuk bercuti. Pada masa sama, ada juga pergerakan keluar kenderaan dari negeri ini.

“Jadi saya jangkakan pertambahan kenderaan ada dengan andaian setiap orang anak yang pulang ke kampung akan memandu sebuah kereta.

“Jika sebuah rumah, secara puratanya kita andaikan tiga buah kereta. Bagaimanapun dari segi jumlah sukar untuk saya buat anggaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 di Binjal di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn. Bhd Aminudin Abd. Aziz.

Muhamad Zaki memberitahu, polis akan menempatkan anggota di kawasan yang sering mengalami kesesakan termasuk susur keluar.

Katanya, langkah itu bertujuan menyuraikan aliran trafik supaya bergerak lancar sekali gus mengurangkan kesesakan.

“Selain itu, polis turut bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuat aliran baharu mengikut daerah masing-masing.

“Jadi saya harap, pendekatan baharu ini mampu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan trafik,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, selain itu petugas trafik akan turut ditempatkan di lokasi ‘black spot’ yang sering berlaku kemalangan iaitu di daerah Kota Bharu (4), Kuala Krai (6), Machang (10), Tumpat (7), Gua Musang (6), Pasir Puteh (7), Pasir Mas (12), Tanah Merah (6),Jeli (5), dan Bachok (3).

Katanya, kawasan ‘hot spot’ yang kerap berlaku kesesakan pula membabitkan enam lokasi di Kuala Krai, Machang (7), Tanah Merah (2), Pasir Mas (3), Gua Musang (5), Kota Bharu (4), dan Bachok (3).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN