ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 11 Mei depan.
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu berdasarkan suara daripada akar umbi parti dalam mesyuarat akan datang.
“Tidak ada keputusan lagi di peringkat PN, kita akan runding untuk calon terbaik. Sebelum ini Gerakan bertanding, orang berharap walaupun masih daripada Gerakan calon itu orang Melayu kerana peluang untuk menang lebih besar.
“Calon daripada parti apa pun tak apa tapi orang Melayu, itulah pandangan akar umbi. Bila ada mesyuarat untuk calon saya akan cakap perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, peluang PN untuk memenangi kerusi itu juga cerah berdasarkan situasi semasa hari ini terutama berkaitan dengan ekonomi negara walaupun DUN berkenaan merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
“Kita lawan dulu baru tahu, kubu kuat PH atau tidak? Pola pengundi hari ini sudah berubah banyak. Saya harap PN menang kerana rakyat protes banyak di sebalik harga barang naik, harga ringgit jatuh dan macam-macam. Saya harap rakyat guna kesempatan ini bagi mesej kepada PH,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April hari penamaan calon dan mengundi 11 Mei.- UTUSAN









