Pharmaniaga beri pulangan positif kepada LTAT

Pharmaniaga beri pulangan positif kepada LTAT

MOHAMED Khaled Nordin bersama Pengerusi Pharmaniaga, Izaddeen Daud (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai produk Pharmaniaga ketika melawat kilang PT. Millennium Pharmacon International Tbk di Bogor, dekat Jakarta, Indonesia hari ini. Turut hadir, Syed Md. Hasrin Tengku Hussin (kanan) dan Isham Ishak. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijangka menerima pulangan lebih positif apabila anak syarikatnya iaitu Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) terus mengukuhkan pengeluaran ubat-ubatan di Indonesia.

Pharmaniaga kini memiliki dua syarikat di negara itu iaitu PT Millennium Pharmacon International Tbk dan PT Errita Pharma yang berperanan mengeluar dan mengedarkan ubat-ubatan di republik berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam lawatannya, beliau mahu melihat pelaburan dibuat oleh Pharmaniaga itu sebelum menentukan sama ada pelaburan itu perlu diteruskan, diperluas dan sebagainya.

“Lawatan ini dapat memberi gambaran berhubung hala tuju, strategi serta masa depan untuk dibuat oleh Pharmaniaga di Indonesia,” katanya selepas melawat ke PT Millennium Pharmacon International Tbk di sini semalam.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya sentiasa mengharapkan agar semua pelaburan dilaksanakan LTAT mendatangkan pulangan baik termasuk menerusi Pharmaniaga.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, menerusi kunjungan itu, pihaknya juga mendapat gambaran menyeluruh mengenai potensi serta cara memperbaiki pulangan pelaburan di Indonesia menerusi Pharmaniaga.

“Antaranya ialah dengan melihat mengenai ubat-ubatan yang dikeluarkan oleh Pharmaniaga di Malaysia dan berapa jumlahnya yang boleh dikeluarkan oleh kilang di Indonesia.

“Jika di Malaysia, kita mengeluarkan sebanyak 380 jenis ubat, tetapi di Indonesia, jumlahnya sekitar 118 sahaja tetapi mempunyai potensi untuk mengeluarkan dalam skala lebih besar,” ujarnya.

Katanya, LTAT boleh meningkatkan lagi kaedah penjualan dan pengedaran selain memperkukuh urusan berkaitan pinjaman daripada institusi perbankan di republik itu.

Sempena lawatan kerjanya ke Indonesia, Mohamed Khaled turut dijadualkan bertemu dengan Menteri Pertahanan Indonesia yang juga Presiden Terpilih Republik itu, Prabowo Subianto. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya