Perak sedia bantu waris tiga mangsa tragedi helikopter - Utusan Malaysia

Perak sedia bantu waris tiga mangsa tragedi helikopter

A. SIVANESAN bercakap kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HRPB Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak sedia memberikan bantuan kepada waris tiga mangsa berasal dari negeri itu, yang terkorban dalam tragedi dua buah helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dekat sini pagi semalam.

Tiga mereka ialah ialah Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy, Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, perkara mengenai bantuan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco minggu depan.

“Kita akan ambil satu keputusan apakah jenis bantuan yang akan dihulurkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada waris ketiga-tiga mangsa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini hari ini.

Beliau merupakan antara pemimpin yang hadir ke HRPB pada pagi ini selain Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Sementara itu, lapan jenazah mangsa yang beragama Islam dalam tragedi tersebut akan disolatkan di masjid Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini.

Difahamkan, jenazah akan dibawa ke masjid di kem di Jalan Tambun itu untuk disolatkan dan pelaksanaan istiadat rasmi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Setelah itu, jenazah akan dibawa ke destinasi seperti yang dimohon oleh keluarga mangsa masing-masing.

Sementara itu, mayat mendiang T. Sivasutan akan dibawa ke Sitiawan manakala mayat mendiang Laskar Kelas I Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Proses bedah siasat terhadap kesemua 10 mangsa tragedi dua helikopter TLDM di Lumut semalam dilakukan di Jabatan Forensik HRPB di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN