KUALA NERUS: Seekor penyu spesies agar dengan nombor tag Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan mendarat dan bertelur di pantai Vietnam, Isnin lalu.
Memetik laporan beberapa portal akhbar Vietnam, penyu seberat hampir 100 kilogram (kg) itu mendarat di Pulau Bay Canh dekat perairan Con Dao di selatan Ba Ria-Vung Tau.
Menurut laporan berkenaan, kejadian disedari kakitangan dan renjer Taman Negara Con Dao yang kemudian berjaya mengutip 108 biji telur daripada penyu dianggarkan berusia 40 tahun itu.
Katanya lagi, penyu betina tersebut dipercayai telah berenang sejauh lebih 550 kilometer (km) dari pantai Kuala Terengganu sebelum mendarat dan bertelur di perairan Vietnam.
Ketua SEATRU serta Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Dr. Mohd. Uzair Rusli, berkata, kejadian itu wajar dikaji kerana spesies penyu lazimnya akan kembali bertelur di pantai yang sama.
Menurut beliau, penyu berkenaan ialah penyu yang direkodkan serta berdaftar dalam sistem SEATRU setelah kali pertama bertelur di pantai Pulau Redang pada 12 Mei 2019.
“Kini menjadi persoalan mengapa penyu kita (Terengganu) seolah-olah merajuk dan tidak mahu kembali ke pantai Terengganu sebaliknya bertelur jauh sehingga ke Vietnam.
“Antara hipotesis perlu dijelaskan adakah ini berpunca perubahan iklim global, abnormaliti fisiologi penyu, halangan fizikal di dalam air, gangguan medan magnet bumi atau faktor penyu jantan,” katanya.
Terdahulu, beberapa portal berita Vietnam melaporkan seekor penyu spesies agar dengan nombor tag Malaysia telah mendarat di Pulau Bay Canh dekat perairan Con Dao di selatan Ba Ria-Vung Tau pada Isnin.
Memetik berita berkenaan, sebanyak 2,700 ekor penyu agar termasuk dengan nombor tag Indonesia juga direkodkan mendarat dan bertelur di pantai perairan Con Dao sejak enam tahun lalu.
“Sejak 2018 juga lebih 145,000 telur penyu menetas di Con Dao dan anak-anak penyu itu akan ditag oleh Taman Negara Con Dao sebelum dilepaskan di pantai sama,” tulis berita berkenaan. – UTUSAN










