Pemerasan: Dua anggota polis kembali bertugas - Utusan Malaysia

Pemerasan: Dua anggota polis kembali bertugas

RAUB SELAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki melakukan peras ugut terhadap seorang lelaki tempatan yang bekerja di Singapura dibenarkan kembali bekerja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka dibenarkan kembali bertugas sehingga Perintah Tahan Kerja dikeluarkan.

“Tempoh tahanan reman terhadap dua anggota itu tamat hari ini dan tidak disambung lagi.

“Kedua-duanya akan kembali bertugas sehingga ada arahan Perintah Tahan Kerja ke atas mereka. Pada waktu ini mereka masih berkhidmat di bawah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Johor telah menghantar surat cadangan Perintah Tahan Kerja terhadap dua anggota itu sehingga siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Sabtu lalu, kedua-dua anggota berusia 33 dan 34 tahun yang sebelum ini bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini  ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dakwaan terhadap mereka telah melakukan peras ugut sebanyak RM1,000 terhadap seorang lelaki berusia 50 tahun, pada 4 Januari lalu.

Terdahulu, pada 6 April, kedua-dua anggota itu juga telah ditahan reman buat pertama kali atas dakwaan sama, iaitu  melakukan peras ugut terhadap seorang lelaki berusia 29 yang juga bekerja di Singapura pada 2 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN