JOHOR BAHRU: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup bersembunyi di balkoni rumah bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melakukan serbuan di sekitar Senai, dekat sini, tengah malam semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, seorang lagi PATI dikesan menyamar sebagai pelanggan ketika serbuan di premis perniagaan.
Menurutnya, mereka merupakan sebahagian daripada 43 PATI yang ditahan dalam Ops Sapu dan Ops Selera di 15 kawasan titik panas di sekitar Senai.
“Seramai 123 warga asing dan tempatan diperiksa dengan 43 daripadanya yang berasal dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal ditahan kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beliaumemberitahu, dalam satu operasi di Pasir Gudang, pihaknya menahan 206 warga asing di sebuah tapak pembinaan.
“Dalam Ops Mahir itu, seramai seramai 530 warga asing dan tempatan diperiksa dan 206 warga asing ditahan dengan seorang lelaki warga tempatan turut ditahan.
“Mereka yang ditahan melibatkan 132 warga Bangladesh, 53 warga China, 10 warga Myanmar, enam warga Pakistan, tiga warga Indonesia, dua warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 61 tahun,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), selain turut disiasat mengikut Peraturan 17(b) dan
Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Baharuddin turut menjelaskan, pihaknya memandang serius isu kebanjiran PATI di negeri ini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap warga asing dan majikan yang melanggar undang-undang.
“Sehubungan itu, JIM Johor menyeru kepada PATI yang layak untuk menyertai Program Repatriasi Migran bermula dari 1 Mac sehingga 31 Disember ini yang membenarkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela,” tambahnya. – UTUSAN










