Pas Kelantan anjur solat sunat Istisqa di seluruh 14 kawasan parlimen

Pas Kelantan lakukan solat sunat Istisqa di seluruh 14 kawasan parlimen

SEBAHAGIAN penduduk  melakukan solat sunat Istisqa di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas Kelantan melakukan solat sunat Istisqa secara serentak di 14 kawasan parlimen berikutan musim kemarau dan kekurangan hujan yang melanda negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas II negeri Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, solat sunat itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya bersama kerajaan negeri untuk memohon rahmat Allah supaya menurunkan hujan.

Menurutnya, solat tersebut merupakan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah dan kemudian diikuti oleh Khulafa Ar-Rasyidin serta sahabat-sahabat lain. 

“Maka kita contohi apa yang dilaksanakan Rasulullah SAW dan bersama-sama memanjat doa kepada Allah. Alhamdulillah di sini hari ini kita gabung tiga kawasan parlimen iaitu Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Ketereh,” kataya kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat istisqa di Padang Perdana, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu turut menyifatkan situasi kemarau dan fenomena El Nino yang melanda beberapa negeri termasuk Kelantan agak luar biasa terutama mencatatkan suhu lebih panas berbanding di Mekah.

“Kebetulan saya sendiri baru balik dari Mekah pada minggu lalu selepas melaksanakan umrah dan cuaca di sana tidak sepanas Malaysia.

“Jadi cuaca panas di Malaysia termasuk Kelantan boleh dikatakan agak luar biasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar turut menyeru rakyat negeri ini supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakan terkena serangan strok haba.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi saranan agar kajian daripada Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) berkait cuaca kemarau dan fenomena El Nino diberikan perhatian serius.

“NAHRIM meramalkan situasi kemarau serta fenomena El Nino akan menjadi lebih teruk pada tahun hadapan, malah diramalkan akan berlarutan selama 10 tahun bermula tahun 2025 sehingga tahun 2035.

“Itu adalah ramalan daripada pakar dan kita perlu ambil perhatian serius. Tahun ini pun kita masing-masing sudah tidak tahan hadapi cuaca panas, kemarau dan El Nino. Apatah lagi jika berlaku lebih teruk,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN