Orang ramai banjiri pasar, beli keperluan Aidilfitri - Utusan Malaysia

Orang ramai banjiri pasar, beli keperluan Aidilfitri

ORANG ramai beratur panjang bagi membeli daging lembu segar di Pasar Bunga Cengkih, Bandar Baru Lipis di Lipis, Pahang sebagai persiapan bagi menyediakan hidangan sempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Orang ramai mulai sibuk membeli barangan keperluan termasuk barangan basah sebagai persiapan akhir bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan di Pasar Bunga Cengkih, Bandar Baru Lipis di sini mendapati, orang ramai beratur panjang sejak pukul 7 pagi bagi membeli bahan mentah seperti ayam, daging, ikan, santan serta pelbagai jenis sayuran untuk persiapan hari raya.

Penjawat awam, Halimatun Saadiah Othman, 42, berkata, dia membeli ayam, sayur dan rempah ratus bagi membuat nasi kebuli yang merupakan makanan tradisional masyarakat di daerah Lipis.

“Saya sekeluarga menetap di Puchong (Selangor) dan pulang bagi menyambut hari raya di rumah mertua di Kampung Mela. Jadi kami sepakat masak nasi kebuli di pagi raya.

“Walaupun petang ini baharu tengok anak bulan tetapi saya buat keputusan untuk membeli barang basah lebih awal supaya tidak kelam kabut di saat akhir,” katanya di sini hari ini.

Bagi Suhaimi Md. Taha, 60, berkata, persiapan hari raya pada tahun ini lebih meriah kerana kesemua ahli keluarganya dapat berkumpul bersama-sama bagi menyambut lebaran.

“Syukur alhamdulillah, kesemua lima anak, menantu serta 13 cucu saya pulang ke kampung untuk meraikan hari raya.

“Sebahagian barangan keperluan sudah dibeli sebelum ini, cuma pagi ini saya datang ke pasar untuk mendapatkan daging lembu dan santan segar bagi membuat lemang serta rendang,” ujarnya.

Suri rumah, Norazian Ali, 35, berkata, persiapan raya pada kali ini dilakukan secara sederhana sahaja ekoran harga barang keperluan semakin meningkat naik.

“Saya mengambil langkah berjimat cermat dengan hanya berbelanja sekitar RM150 untuk membeli barang bagi membuat ketupat, rendang dan laksa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN