KUALA TERENGGANU: Ketibaan musim mencandat sotong sejak awal bulan ini memberi pulangan lumayan kepada pemilik bot selepas menerima tempahan hampir setiap hari.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga bagi ‘trip’ mencandat di sekitar daerah ini bermula RM850 sehingga RM1,600 bergantung kapasiti dan jenis bot.
Seorang pengusaha, Zakaria Musa, 52, berkata, musim mencandat bermula April sehingga September akan memberi rezeki kepada ribuan nelayan terutama yang memiliki lebih daripada sebuah bot.
Malah, Zakaria juga tidak menang tangan menerima tempahan yang kebanyakan dibuat pelanggan dari luar Terengganu yang mahu merasai pengalaman mencandat di perairan negeri ini.
“Bermula awal bulan ini, hampir setiap malam saya keluar membawa pelanggan memancing atau mencandat sotong di sekitar perairan Pulau Kapas dan hasil tangkapan juga memuaskan.
“Kebanyakan peserta dari Johor, Perak dan Pahang. Kalau bilangannya melebihi 15 orang saya akan mengajak beberapa rakan untuk menyewakan bot mereka pada harga berpatutan.
“Tahun ini terpaksa naikkan harga sewaan RM100 kepada RM1,400 untuk satu ‘trip’ tetapi tempahan tetap penuh sehingga Jun atau Julai iaitu waktu kemuncak mencandat sotong,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Awaludin Alias, 48, berkata, ada pengusaha menawarkan harga lebih rendah bagi menarik minat kaki pancing namun tetap pulang dengan hasil tangkapan lumayan.
Menurutnya, pada harga RM850 satu trip peserta akan dibawa menaiki bot gentian kaca yang boleh memuatkan enam orang untuk bermalam di tengah laut sehingga awal pagi.
“Sekarang pakej mencandat pun banyak yang murah di bawah RM1,000 jadi kaki pancing ada banyak pilihan cuma memang kena buat tempahan awal kerana slot sudah penuh sehingga Jun.
“Mencandat sotong memang ibarat pesta di Terengganu kerana kita boleh lihat deretan cahaya di tengah laut menandakan musim sotong berkumpul dan bertelur sudah tiba,” tambahnya. – UTUSAN










