AMPANG: Penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, mengambil tindakan tegas menghantar notis amaran kepada pihak yang cuba menabur fitnah sekali gus mengeruhkan lagi kemelut rumah tangganya.
Jelas Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 34, notis itu telah diberikan kepada pihak terlibat oleh peguam syarie yang mewakilnya, Fakhrul Azman Abu Hassan pada Sabtu.
“Mewakili defendan, saya minta sebarang kenyataan di media sosial dihentikan agar hal ini tidak diperbesarkan.
“Kami juga sudah berikan notis kepada beberapa pihak yang memuat naik kenyataan di media sosial.
“Biarlah mahkamah yang tentukan berkenaan sebarang isu yang timbul. Jika isu menjadi makin besar, anak guam saya pun akan stres juga,” kata Fakrul Azman.
Peguam itu ditemui Utusan Malaysia di prosiding sebutan kedua tuntutan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.
Dalam masa yang sama, penyanyi Kekal Bahagia itu turut mendedahkan tertekan menerima kecaman dan tohmahan di media sosial hasil daripada kenyataan tidak benar yang dikeluarkan pihak tertentu.
“Pihak ketiga mungkin tidak faham cerita luar dalam suami isteri. Jadi lebih baik kita lakukan ini (beri notis) agar semuanya berhenti beri komen dan netizen tidak salah tafsir.
“Saya dan keluarga isteri baik-baik sahaja kerana ikatan kekeluargaan antara kami tidak boleh diputuskan.
“Sejujurnya sesiapa pun akan stres dengan tohmahan yang diterima. Sebab itu saya ambil jalan terbaik selesaikan semua di mahkamah.
“Kepada peminat yang suka lagu saya sebelum ini, harap jangan campur hal peribadi dan kerja,” tambahnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan seorang wanita dipercayai kakak kandung Ippo memuat naik kenyataan menerusi aplikasi TikTok.
Wanita terbabit mendakwa adik iparnya iaitu Fara Roslan telah dipisahkan dengan anak bongsu mereka sejak Februari lalu.
Terdahulu, pada 12 Mac, Ippo hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Fara Roslan.
Tuntutan itu dibuat selepas Ippo mendakwa isterinya tidak pulang ke rumah sejak November tahun lalu.
Sejak kemelut rumah tangga berlaku, anak sulungnya, Yusuf, 5, dijaga oleh Fara manakala anak kedua mereka, Ibrahim, 2, tinggal bersama Ippo. – UTUSAN










