MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sejumlah 14,683 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 sejak 1 April hingga semalam.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 7,785 notis dikeluarkan terhadap motosikal kerana gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Kata beliau, kesalahan paling banyak dikesan pada motosikal membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans iaitu 3,283 kes manakala tiada lesen 2,681 kes.
“Dalam tempoh dua hari ini juga JPJ telah memeriksa 59,771 kenderaan termasuk 25,841 motosikal pada Op Khas HRA 2024. Operasi ini memfokuskan kepada pengesanan pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan serta kenderaan dipandu dengan selamat.
“Tumpuan operasi ini berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya dalam sidang akhbar Op Khas HRA 2024 di Jalan Tun Fatimah, Bachang di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan Strategik Bahagian Penguatkuasa JPJ, Dr. Azmi Awang dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.
Dalam pada itu, Lokman mengingatkan orang ramai agar peka dengan tanda laluan masuk dan keluar di 18 smart lane yang akan diaktifkan di seluruh negara.
Katanya, ia bagi mengelakkan orang ramai tersalah anggap pengguna jalan raya lain melakukan kesalahan memasuki laluan kecemasan.
“Jadi orang ramai harus peka melihat kepada tanda-tanda yang diletakkan pihak konsesi lebuh raya. Jangan sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri seolah-olah ada orang melakukan kesalahan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN











