MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk puluhan kilogram cili segar tanpa permit dari Indonesia, Selasa lalu.
Pengarah Maqis Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, perbuatan itu dikesan semasa pemeriksaan penumpang di Terminal Feri Antarabangsa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, Kota Laksamana di sini.
Katanya, pihaknya bertindak merampas cili berkenaan untuk dilupuskan.
“Maqis telah menahan kemasukan hasil pertanian iaitu cili segar ke dalam negara ini melalui laluan penumpang feri. Tiada tangkapan dibuat kerana pelaku memberi kerjasama ketika pemeriksaan.
“Cili berkenaan dipercayai dibawa masuk kerana dikirim oleh rakyat Indonesia yang menetap di sini,” katanya kepada pemberita.
Tambah Nora Dinah, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran hasil pertanian tanpa permit import adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta sama.
Menurutnya, sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis menasihatkan semua penumpang feri dari luar negara yang ingin membawa masuk produk pertanian perlu mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN










