PETALING JAYA: Mahkamah merupakan satu-satunya badan yang menentukan berhubung kewujudan titah adendum dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sekiranya titah itu tidak wujud, maka kononnya bekas Presiden UMNO itu perlu menghabiskan baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah tidak wajar dipenuhi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, mahkamah perlu menilai terlebih dahulu afidavit dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada wujudnya titah itu atau sebaliknya sebelum membuat keputusan.
Katanya, tambahan pula terdapat kenyataan susulan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mahu mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan beberapa fakta terkandung dalam dokumen dikemukakan Ahmad Zahid.
“Dengan perkembangan kedua-dua perkara ini, maka biarlah mahkamah menentukan kewujudan titah ini. Hanya badan kehakiman akan membuat penilaian berdasarkan semua fakta dan afidavit dikemukakan oleh mana-mana pihak.
“Jika wujud maka perlu dipatuhi. Sebaliknya tidak, maka tiadalah perintah mahkamah seperti mana diuar-uarkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid disahkan sebagai saksi kritikal yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Presiden UMNO itu, menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Ahmad Zahid mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta berhubung tahanan di rumah membabitkan Najib.
Abu Talib menegaskan, sebarang kenyataan di luar mahkamah bukan sahaja mencetuskan pelbagai kekeliruan sebaliknya juga merupakan satu perbuatan menghina mahkamah.
Katanya, prosiding itu telah pun didengar dan sedang berjalan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau menegaskan, masyarakat luar perlu menghentikan perbincangan berkenaan titah adendum ini.
“Biarlah mahkamah buat keputusan, kita di luar janganlah buat pelbagai spekulasi sehingga mengeruhkan suasana. Terlalu banyak kenyataan boleh menimbulkan pelbagai percanggahan berhubung kewujudan titah ini,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan sikap diam kerajaan di samping tidak memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung perkara sebenar.
“Amat pelik kalau pada 30 Januari lalu, Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri telah mengetahui mengenai perkara ini, siapa lagi yang tahu kewujudan perkara ini?
“Kalau beliau telah tahu, bagaimana pula dengan ahli-ahli Lembaga Pengampunan? Bagaimana pula dengan Menteri-Menteri dalam Kabinet Madani?” soal beliau. – UTUSAN










