KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jaehong tekad menempatkan pasukan itu berada di kedudukan lima terbaik dalam carta Liga Super musim ini.
Jeahong berkata, sasaran itu tampak realistik dan mampu dicapai oleh sebuah pasukan muda seperti Sang Kijang Emas yang baru melalui proses penjenamaan semula serta rombakan besar-besaran pasukan.
“Untuk musim ini saya tidak menyasarkan KDN FC akan mencabar kedudukan teratas Liga Super. Itu mungkin akan menjadi sasaran saya serta pasukan untuk tahun hadapan. Bagi musim ini saya menyasarkan kedudukan di tengah-tengah carta liga.
“Mungkin kedudukan kelima, enam atau tujuh terbaik adalah lebih realistik. Paling penting kita mahu berada pada kedudukan lebih baik berbanding musim lepas,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas prestasi semasa pasukan yang ditunjukkan pada perlawanan persahabatan menentang Patani FC pada Rabu lalu, bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu jelas belum berpuas hati.
“Sebenarnya kali terakhir barisan pemain KDN FC bermain dalam perlawanan kompetitif adalah pada November tahun lepas dan perlawanan persahabatan itu merupakan kali pertama mereka turun dalam sebuah perlawanan kompetitif setelah agak lama berehat.
“Jadi, tentunya masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Kami akan bergerak sebagai sebuah pasukan dan mengharungi setiap permasalahan bersama-sama,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Jurulatih, Rezal Zambery Yahya memberitahu, pihaknya sering berhubung dengan Jaehong dan segala perancangan dalam pembentukan pasukan telah dirancang lebih awal.
“Pada satu ketika barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan ada pergi berjumpa dengan ketua jurulatih di Korea Selatan. Di situlah bermulanya rundingan antara pihak kelab dan beliau (Jaehong).
“Dari situ kami diberikan gambaran pemain-pemain yang mahu diikat. Kami siarkan kepada ketua jurulatih untuk menilai dan berkomunikasi secara jarak jauh untuk pelaksanaan setiap perancangan beliau. Jadi memang sejak awal kami merancang bersama-sama,” jelasnya. – UTUSAN









