PETALING JAYA: Lelaki Israel, Avitan Shalom yang berdepan pertuduhan memiliki senjata api pada 12 April lalu dipercayai ditempatkan dalam sel berasingan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 21 Mei ini.
Turut berada di penjara sama iaitu pasangan suami isteri Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan isterinya Syarifah Faraha Syed Husin, 41. Pasangan itu didakwa menjual senjata api kepada Shalom.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, Shalom dipercayai diasingkan sel daripada banduan-banduan lain bagi memastikan keselamatan tertuduh.
Kata sumber itu, keselamatan Shalom diberi perhatian lebih-lebih lagi tertuduh berdepan dengan kes yang menarik perhatian awam.
“Kebiasaanya banduan-banduan kes yang menarik perhatian awam akan diasingkan daripada banduan lain atas faktor keselamatan mereka,” kata sumber itu.
Selain itu, kata sumber berkenaan, kebanyakkan banduan reman dan masih di dalam proses perbicaraan akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Utusan Malaysia, pertuduhan ke atas lelaki Israel itu adalah bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Ini bermakna, orang kena tuduh (OKT) akan ditahan dalam penjara dan berada di bawah kawalan pihak Jabatan Penjara Malaysia sehingga perbicaraan selesai.
Terdahulu, Shalom mengaku tidak bersalah pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang 28 Mac lalu, di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.
Shalom ditahan pada 27 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.
Siasatan awal, Shalom dipercayai memasuki negara ini kerana merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya di Israel.










