Konvensyen PKR: Ekonomi, sentimen perkauman jadi fokus

Konvensyen PKR: Ekonomi, sentimen perkauman jadi fokus

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konvensyen Khas 25 Tahun PKR yang dijadualkan berlangsung Ahad ini perlu menumpukan kepada aspek ekonomi memandangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan manakala Timbalan Presiden, Rafizi Ramli adalah Menteri Ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam hal ini, kestabilan ekonomi negara penting supaya ia dapat mencakupi sektor lain termasuk pendidikan dan kesihatan khususnya kepada golongan B40.

Malah, katanya perkara itu juga terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu, sekali gus ia perlu dilaksanakan.

“Kita perlu ingat PKR tidak boleh bersaing dari segi politik perkauman dan agama kerana kekuatan kita adalah agenda reformasi dan ekonomi yang lebih adil untuk semua. Memandangkan Anwar adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Rafizi, Menteri Ekonomi, kita perlu mengangkat martabat rakyat Malaysia dan bukan lagi golongan maha kaya.

“Kalau dulu kita di pihak pembangkang boleh mengkritik, tetapi kita di barisan kerajaan pada waktu kini perlu menyediakan hujah yang baik supaya tekanan ekonomi rakyat dapat dikurangkan dan membantu untuk meredakan suasana, serta menguatkan lagi pengaruh parti dalam kalangan rakyat,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Ketua Penera­ngan PKR, Fahmi Fadzil berkata, Konvensyen Khas 25 Tahun PKR yang dijadualkan berlangsung pada 28 April, diawalkan kepada Ahad ini.

Katanya, lokasi tersebut turut ditukar dari Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Sela­ngor kepada Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Ditanya mengenai perkembangan ekonomi negara semenjak dipimpin Kerajaan Madani, Nik Nazmi berkata, beliau optimis dapat meyakinkan rakyat meskipun keputusan yang diambil kebanyakannya adalah tidak popular.

“Belum lagi mencapai sasaran (pencapaian ekonomi) sebab ada banyak keputusan yang sukar perlu kita lakukan. Contohnya, kita beralih daripada subsidi pukal yang menguntungkan orang kaya sebelum ini, kepada subsidi bersasar.

“Menyediakan Pangkalan Data Utama (PADU), membantu rakyat susah dan beberapa keputusan tidak popular terpaksa kita buat. Tetapi kita tiada pilihan dan ditambah pula hutang negara yang tinggi.

“Jika semua ini kembali stabil, kita akan dapat membantu orang miskin dalam sektor pendidikan, kesihatan. Kalau tidak, kita tidak akan ada dana untuk buat peralihan dalam sektor tersebut,” ujarnya.

Selain itu, aspek lain yang perlu diberikan tumpuan adalah mengenai hala tuju parti yang perlu bergerak ke hadapan dengan cabaran di media sosial, sekali gus memerlukan semua ahli bersedia dengan hujah dan penjelasan lebih baik bagi menjawab beberapa isu yang berbangkit.

“Kita perlu merenung seketika sejak kelahiran parti, susah payah parti dibina dan sekarang kita perlu bergerak ke hadapan sebagai sebuah kerajaan. Keada­an politik terlalu kompetitif, terlalu banyak cabaran di media sosial mengenai sentimen perkauman yang kadang-kala menjadi ‘tajam’.

“Dalam hal ini, kita perlu meyakinkan rakyat,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN