SEREMBAN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang merupakan mangsa serta saksi ke-11 dalam kes amang seksual fizikal melibatkan penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini.
Remaja terbabit memberi keterangan hampir dua jam di hadapan Hakim, Datin Surita Budin pada prosiding yang dijalankan secara tertutup bermula pukul 2.30 petang.
Kali pertama prosiding membabitkan remaja berkenaan adalah pada bulan Disember tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hadi Hakimi Harun, Zahida Zakaria, Nurul Balqis Zunaidi dan Goh Hsiao Tung.
Azman atau lebih dikenali sebagai Cik Man sebelum itu tiba di mahkamah ditemani peguamnya, iaitu Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah kira-kira pukul 1.50 petang.
Selebriti itu kelihatan tenang seperti biasa dan turut mengucapkan selamat hari raya kepada pengamal media yang hadir membuat liputan.
“Saya sambut raya di Perak bersama saudara mara di sana dan sekarang baharu balik ke rumah keluarga di Rantau, Seremban,”katanya.
Pada 12 Oktober 2022, PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 42, didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Kesalahan dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Nilai pada 6 Julai 2022.
Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan kes jenayah seksual yang didakwa dilakukan terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.-UTUSAN.










