SEREMBAN: Keputusan makmal bagi sampel kupang dan air laut yang diambil susulan kejadian kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di Port Dickson dijangka diketahui esok.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, selain itu, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan kepada penternak kupang untuk tidak mengeluarkan hasil dan menjualnya selaras dengan kenyataan media oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
“Sama seperti semalam, kami masih menunggu keputusan makmal yang dijangka keluar esok. Kami juga telah keluarkan arahan kepada penternak untuk tidak mengeluarkan hasil ternakan kupang dan menjualnya,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Kasim berkata, kes keracunan melibatkan pengambilan kupang tersebut tidak pernah direkodkan berlaku sebelum ini di Port Dickson.
Menurutnya, kebiasaannya hasil kupang secara bulanan dari perairan Port Dickson dianggarkan sekitar 60 kilogram.
“Kami akan memantau dari penternak untuk tidak mengeluarkan hasil bagi jualan ke pasaran. Kami juga menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil atau memakan kupang dari perairan Port Dickson buat sementara sehingga kes ini dikenal pasti,” katanya yang turut memberitahu pengeluaran hasil kupang secara bulanan dari perairan Port Dickson dianggarkan sekitar 60 kilogram.
Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson pada 1 April.
Menurutnya, sebanyak dua kes telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes telah dirawat sebagai pesakit luar.
“Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa buah keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar Port Dickson.
“Kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot. Terdapat dua kes telah dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis,” katanya.-UTUSAN.










