LIPIS: Kesemua 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak adalah kakitangan kerajaan dan tidak tertakluk dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, segala faedah dan imbuhan yang bakal mereka terima adalah dari kerajaan.
“Mereka akan dapat pencen kerana bekerja dengan kerajaan dan Perkeso biasanya kita bagi kepada pekerja swasta yang mencarum dan cukup tempoh,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Sumber Manusia peringkat negeri Pahang di Dewan Arena Jubli Perak di sini hari ini.
Dalam kejadian nahas kelmarin dua buah helikopter membabitkan helikopter Fennec dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 TLDM berlanggar di udara sebelum terhempas.
Ketika kejadian kedua-dua helikopter itu sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut.
HOM AW139 terhempas di tempat duduk penonton Stadium Pangkalan TLDM, manakala helikopter Fennec berdekatan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Mereka yang terkorban ialah Komander Mohammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulhafis Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun,Pegawai Waran II Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda Noor Rahiza Anuar, Laskar Kelas 1 Joana Felicia Anak Rohna, Komander Mohamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan dan Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd. Termizi. – UTUSAN










