KLANG: Konsep ‘kelas terapung’ adalah antara inisiatif yang digunakan bagi mengatasi masalah sekolah yang berkepadatan tinggi di seluruh negara terutama di Lembah Klang.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hanya 86 buah sekolah dikenal pasti mempunyai lebih 40 pelajar dalam sesebuah kelas.
Kelas terapung merupakan kelas atau bilik darjah khas yang diwujudkan menerusi penggunaan fasiliti sekolah secara optimum seperti makmal, bengkel, bilik bahasa dan bilik kesihatan.
“Tidak semua sekolah akan menggunakan dinamika kelas terapung bagi subjek pelajaran tertentu dan ia bergantung kepada kesesuaiannya.
“Jika mereka ada kelas lebih, boleh buat konsep itu. Jika tiada, mungkin boleh guna kaedah lain bagi mengatasi masalah kepadatan pelajar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan keadaan sekolah di Lembah Klang terutama di Selangor diibaratkan seperti ‘tin sardin’ kerana mempunyai antara 2,000 hingga 3,000 pelajar dalam dua sesi.
Fadhlina memberitahu, hasil tinjauan menerusi program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri Satu di SMK Meru, sesi pembelajaran dan pergerakan pelajar berjalan dengan teratur setakat ini.
“Pihak pentadbiran sekolah yang mempunyai mempunyai 4,198 pelajar dan 240 guru bagi sesi penuh itu mewujudkan kelas terapung dengan mengoptimumkan semua fasiliti.
“Jadi, pengalaman seumpama ini yang kita boleh lihat untuk digunakan di sekolah lain,” ujarnya.
Tambah beliau, lawatan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) penting sebagai maklum balas terhadap isu melibatkan sekolah.
“Selain itu, kita melihat bagaimana mahu menyuraikan pelajar di sekolah padat dan mengoptimumkan sekolah lain di kawasan sekitar sebagai pilihan kepada ibu bapa.
“Bagi jangka masa panjang, pembinaan sekolah baharu juga diharap dapat menyelesaikan isu kepadatan itu dengan turut meliputi sesi libat urus bersama kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN










